TRIONOVEL FEB’ 2009

 

ZIKIR RINDU

azizi abdullah…[208 m/s]

“SUDAH puluhan novel saya hasilkan, tetapi hati ini masih terasa kekurangan. Masih lagi tidak terasa nikmat bercinta, rindu dan kasih sayang. Jiwa tetap terlohong. Tiba-tiba, dengan ZIKIR RINDU ini, saya mula merasainya. Adakah perasaan ini bagaikan ilusi? Tidak! Bagaikan halimunan malam? Juga tidak! Tetapi ia adalah satu realiti hidup… agar anda dengan penuh rasa tanggungjawab bisa memahami gelodak rasa seorang tua dalam mencari erti kasih abadi…”

AZIZI ABDULLAH, penerima anugerah SEA Write Award dan penerima anugerah MASTERA 2007 ini mengajak anda berkongsi rasa, bertingkah kata dalam karya terbarunya ini. Novel ini memaparkan runtunan perasaan seorang tua, yang tiba-tiba diminati oleh seorang perempuan muda. Inilah yang anehnya dan aneh inilah yang dirasai oleh `aku’. Hal ini ditokok pula dengan gambaran bagaimana tekanan seorang isteri jika keseorangan menghadapi suami yang terlantar sakit.

ZIKIR RINDU… menjelajah erti sebuah kehidupan dan memahami betapa luasnya erti sebuah kasih. Cinta adalah fleksibel, tetapi kasih sayang adalah kesetiaan dan abadi. Ia adalah hak semua. Hayatilah `aku’ dengan penuh khusyuk agar anda dapat memahami mesej tersirat di sebalik kisah tersurat.

 

MENANTI KHALIDAH

ana balqis…[512 m/s]

Malam itu sama juga dengan malam-malam sebelumnya, dia mendengar ayahnya membentak-bentak. Kemudian, kedengaran tangisan emaknya sama seperti selalu. Esok, ayahnya telah pergi buat selamanya. Sebaik sahaja habis idah, emaknya berkahwin lagi. Dia merajuk dan tinggal bersama bapa saudaranya. Tapi hidupnya, bagai dalam neraka.

Seminggu sebelum peperiksaan STPM, gadis itu berkahwin dengan Ustaz Rashdan, sebagai jalan keluar. Malangnya, dia bukan menantu pilihan. Akhirnya, Ustaz Rashdan menjatuhkan talak ke atasnya. Namun, dia bangkit dan bertatih meneruskan hidup dengan bertemankan air mata. Itulah Asyiqin. Perempuan yang hidup dengan nafas dendam yang perlahan-lahan membakar tulus hati dan waras akalnya. Malah, dendam itu juga memerangkap dia dalam kenangan terhadap seorang wanita bernama Khalidah.

Kenangan yang telah mengurungnya dalam resah berpanjangan. Yang tinggal hanya harapan untuk bertemu dengan Khalidah. Akan dipeluk wanita itu dengan kata-kata ampun dan maaf. Tapi… bilakah orang yang dinanti akan menjelma? Di mana Khalidah ?

 

CINTA DUA JIWA

rania firdaus…[496 m/s]

HARIZ, arkitek muda yang gemar berchatting dengan rakan sibernya, Aisya Humayra. Menggunakan nama ‘Archyhis’, Hariz tidak pernah membongkarkan identitinya meskipun dia mengenali gadis itu yang juga bekas juniornya ketika di universiti.

Takdir yang berlaku, Aisya kemalangan angkara Fakhrurrazi yang meminatinya. Ini amat memeranjatkan Hariz. Sejak itu, dia melawati Aisya di hospital sehingga timbul rasa kasih terhadap gadis itu. Dia lantas meminta pertolongan orang tuanya untuk meminang gadis itu. Walaupun hati belum bersedia, Aisya terpaksa akur dengan kehendak ibu bapanya. Hariz kini menjadi suaminya.

Namun, layanan dingin diberikan kepada lelaki itu. Hariz yang penyabar, akhirnya meninggalkan Aisya buat seketika sebagai ujian buat isterinya. Perpisahan itu amat menyakitkan. Kejauhan itu menggamit kerinduan. Akhirnya, Aisya sedar betapa dia banyak melakukan kesilapan sehingga menghiris hati suami yang tercinta. Namun, tatkala bunga-bunga kasih mula berputik, Fakhrurrazi muncul kembali lalu memporak-perandakan rumah tangga mereka. Sebuah fitnah telah menjauhkan kembali hati Aisya terhadap suaminya…

Comments are closed.

%d bloggers like this: